Ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'Minuman Daripada Segala Minuman Dan Ubat Daripada Segala Ubat'. Apakah rahsia di sebalik cairan kental yang diperoleh daripada lebah ini?
PERUBATAN herba dan alternatif kini menjadi kaedah rawatan dan penyembuhan yang semakin dapat diterima dalam dunia moden. Dengan pelbagai kajian saintifik tentang manfaat sesuatu herba atau sumber tradisional, ia menambahkan lagi keyakinan orang ramai tentang penggunaannya.
Madu lebah adalah antara sumber alternatif yang mempunyai seribu satu khasiat istimewa. Hakikatnya, madu mempunyai sejarah yang panjang bersama evolusi kehidupan manusia. Sekiranya diimbas sejarah silam dan asal-usul madu lebah, ia telah dikenali sejak zaman Firaun yang memerintah Mesir 300 tahun Sebelum Masihi.
Kemasyhuran khasiat madu lebah turut tersebar luas sehinggalah ke zaman tamadun Parsi, Greek dan juga Rom.
Malah, sejarah ISLAM sendiri ada menceritakan kegunaan madu lebah dalam perubatan amatlah masyhur. Ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam ayat 68 hingga 69 surah an-Nahl bahawa madu itu adalah syifa (penawar) kepada manusia.
Rasulullah juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan AL-QURAN. Baginda bersabda: Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan AL-QURAN. (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Dalam dunia moden hari ini pelbagai kajian dan konvensyen terbaru diadakan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai khasiat di sebalik cairan kental manis yang dihasilkan lebah ini.
Menurut Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.
Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink.
Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.
Madu berperanan sebagai antioksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik.
Kajian terkini membuktikan, kandungan madu lebah yang terdiri daripada bahan semula jadi pelbagai gula seperti glukos dan fruktos ini mampu meningkatkan stamina, jelas Dr. Susan lagi.
Dalam satu kajian lain, pakar mikrobiologi Amerika, Richard F. Stier mendapati, komposisi unik kandungan madu lebah juga boleh menjadi agen antimikrob untuk merawat kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. Ia juga mampu mengelakkan jangkitan berpunca daripada bakteria.
Fakta ilmiah ini turut diakui para ilmuwan yang bersidang pada Persidangan Apikultur Sedunia (World Apiculture Conference) pada 20 hingga 26 September 1993 di China.
Pada persidangan tersebut dibincangkan perubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu. Para ilmuwan Amerika mengatakan bahwa madu, jeli raja, serbuk sari dan propolis dapat mengubati pelbagai penyakit.
Sementara seorang doktor yang berasal dari Rumania mengatakan, beliau cuba menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, hasilnya, 2,002 daripada 2,094 pesakitnya sembuh sama sekali.
Berikut adalah manfaat lain madu :
Membersih dan membuang segala kotoran yang ada dalam darah.
Boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, tekanan dan kemurungan.
Boleh menghentikan kesakitan sendi.
Baik untuk sistem pernafasan.
Perut dapat menyerap madu dengan mudah dan segera tanpa diproses di dalamnya lebih dahulu.
Boleh membunuh kuman dan virus dalam darah.
Membaik-pulih dalaman wanita dan memelihara kesihatan kaum lelaki ataupun menambah keharmonian rumah tangga.
Berupaya menghilangkan gatal-gatal pada kulit serta merta dan menghilangkan parut luka dengan segera.
Menjana pertumbuhan otak.
Mencantik, menghalus, melembab dan mengawal keanjalan kulit.
Digunakan sebagai ubat sakit perut.
Menghilangkan kahak.
Memutih dan menguatkan gigi.
“… dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat penyembuh bagi manusia.” (Surah an-Nahl: ayat 69)
Madu lebah adalah ciptaan ALLAH yang menjadi makanan tambahan yang tinggi mutu dan khasiatnya. Madu diambil dari kawasan pergunungan, pokok-pokok atau bangunan yang dibina oleh manusia. Mutu atau kualiti madu bergantung kepada tempat ia diperolehi, kandungan air dan lain-lainnya mengikut piawaian madu antarabangsa seperti IHC dan CAC. Madu yang mempunyai kandungan air yang rendah di bawah 16 dianggap sebagai madu gred A. Di samping itu, kandungan air yang tinggi melebihi 22%, mineral tembaga dan sulfur (belerang) akan menyebabkan rasa perit ketika madu ditelan dan juga bahang atau badan penggunannya cepat terasa panas.
Madu ialah bahan cairan yang boleh menghidup, membangkit, mengembang, membina, membersih, membaiki, menjaga, membantu, menyembuh, menyegerakan kesembuhan, menghilangkan rasa sakit, membanteras racun, menambah selera dan kecergasan. Madu membantu berperanan sebagai pemangkin kesihatan manusia kerana ia menggerakkan sel-sel (tisu) baru, mempunyai daya pencergas, mampu membaiki tisu yang rosak, kaya dengan glukos serta bahan makanan yang berperanan membentuk sel manakala Vitamin A, B dan C di dalamnya sebagai makanan anggota badan, menumbuh dan memeliharanya.
Vitamin utama dan enzim dalam madu berperanan mencergaskan otak, menggilap dan memberi daya pengingat. Enzim membantu metabolisma (penukaran zat) makanan.
Madu menambah dan mengembangkan ‘glycogen’ dalam hati, membersihkan hati dari racun dan kuman serta memberi tenaga kepada badan melawan kuman-kuman penyakit.
Madu berperanan sebagai bahan paling mujarab untuk penyakit dalam perut. Ia membersihkan perut, usus, saluran urat dan saluran lain untuk kesihatan. Zat asam manganese dan besi dalam madu membantu pencernaan dan memproses makanan serta menolong masalah sembelit, bengkak dan bernanah dalam perut dan usus dan masalah panas dalam perut. Manakala zat asam Namlik merupakan zat utama dapat menahan sesuatu dari kebusukan dan kerosakan disamping dapat mematikan kuman dalam perut.
Zat gula buahan dalam madu membantu pemprosesan zat makanan dalam perut. Zat gula dalam madu memudahkan pencernaan. Bila dimakan atau diminum, dalam masa kurang dari ½ jam ia dimanfaatkan oleh perut untuk beroperasi.
Madu juga mengandungi wangian haiwan terbang yang membangkitkan perut untuk bergerak dan beroperasi.
Terdapat bahan Glukosidansranik dalam madu membantu mengatasi masalah sembelit. Ibnu Sina menyatakan : Madu mempunyai khasiat yang dapat menahan daging dari busuk dan rosak dan juga memelihara tulang. Glukos dalam madu akan menambahkan daya tahan tubuh dari penyakit dan juga menambah ketahanan hati dari keracunan dan meningkatkan simpanan glikogen dalam hati dan mengaktifkan metabolisma.
Madu juga bertindak mengatasi kekurangan darah. Bila berlaku kekurangan darah, zat galian dalam madu bertindak mengatasi masalah tersebut di samping mengseimbangkan darah merah dengan darah putih.
Madu yang diambil akan menambahkan kerajinan tubuh dan pergerakan penggunanya. Ini cukup berkesan untuk anak yang lembap.
Madu dapat menyembuhkan hampir semua penyakit dan berperanan sebagai antiseptik yang dapat membunuh bakteria/kuman penyakit. Ia kaya dengan Vitamin C berbanding dengan kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia juga kaya dengan aneka vitamin, mineral, enzim, protin, zat asam di samping kandungan oksigen dan hydrogen yang berguna kepada pesakit paru-paru.
Menurut satu kajian di Perancis tenaga 1kg madu = tenaga 3.5kg daging dan 12kg sayur-sayuran.
Madu dijamin sebagai penawar pelbagai penyakit oleh YANG MAHA PENCIPTA dalam firmanNya dalam Surah an-Nahl, ayat 69.
Pada madu terdapat ciri-ciri makanan, ubat, ibadah, sunnah, taubat (setelah mengenali nikmat ALLAH yang besar ini) dan pendekatan diri kepada ALLAH.